Bukannya sengaja mahu melarikan diri tetapi Lisa ada sebab kenapa melakukan semua itu. Katanya, adalah lebih baik kalau suaminya, Yusry Abdul Halim yang memaklumkan semuanya.
Berada di sisi Lisa ketika ditemui, Yusry mengesahkan isterinya kini mengandung.
“Ya, dia (Lisa) mengandung tetapi terlalu awal untuk kami bercerita lanjut mengenai perkara itu. Kalau boleh saya tidak mahu perkara ini (hamil) terlalu mendapat perhatian.
“Agak berat bagi pihak kami berdua untuk berkongsi berita ini kerana mengikut pesanan orang tua-tua, tidak elok sekiranya soal kehamilan yang masih pada peringkat awal dihebohkan kepada umum,” kata Yusry sambil tersenyum.
Tambah Yusry, dia juga sebenarnya risau jika nanti berlaku sesuatu yang tidak baik dan bukan bermaksud meminta perkara itu benar-benar berlaku.
“Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa depan. Sebab itu, kami mengambil langkah berjaga-jaga dan cukup bersederhana dalam bab ini.
“Cukuplah sekadar kami mengatakan ya tentang desas-desus kehamilan ini supaya orang ramai tidak lagi membuat spekulasi yang bukan-bukan. Terima kasih atas doa kalian,” katanya.
Puas dengan penjelasan si suami, Lisa juga tidak mahu terlalu membuat publisiti tentang kandungannya yang masih baharu.
“Biarlah usia kandungan ini melepasi tempoh trimester pertama dahulu. Saya juga sangat berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan yang terbaik buat kami berdua.
“Sekarang, saya juga tidak berapa kuat untuk bercerita lanjut. Ada apa-apa nanti, kami akan beritahu. Jangan risau,” katanya yang telah melangsungkan perkahwinannya dengan Yusry, 42, pada 23 Februari 2012 di Hotel Marriot, Putrajaya.
Ditanya mengenai kesihatan yang tidak menentu seperti yang dimaklumkan menerusi laman Instagramnya, Lisa menafikan perkara itu simptom kepada kehamilannya.
“Saya memang mengalami sakit tekak dan mata kerana keadaan cuaca yang tidak menentu. Hampir dua minggu saya diserang batuk dan sakit mata. Sekarang pun masih sakit-sakit.
“Itu semua berlaku secara kebetulan dengan kehamilan ini dan bukannya salah satu daripada simptom atau alahan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Lisa turut memberitahu yang dia langsung tidak mengalami apa-apa alahan sehingga ke hari ini dan semuanya masih baik seperti biasa.
Ada juga yang menganggap Yusry dan Lisa sebenarnya merahsiakan perkara itu kerana menjadi hak eksklusif sebuah stesen televisyen. Menyangkal perkara itu, Yusry menyatakan tiada perjanjian antara mereka sebagai suami isteri dengan mana-mana stesen televisyen berhubung kononnya akan diadakan satu pengumuman khas untuk berita gembira ini.
“Tiada apa-apa perjanjian. Kami cuma tak mahu berkongsi lebih-lebih sebab masih awal lagi.
“Semua itu mengarut. Perkara ini tiada kaitan dengan mana-mana pihak. Berita Lisa hamil dirahsiakan kerana tidak mahu kecoh-kecoh. Kalau ada orang mengaitkan isu ini dengan pihak lain, spekulasi itu tidak benar. Harap maklum,” katanya.
Bercerita mengenai filem Cicakman 3 arahannya bersama Ghaz Abu Bakar, Yusry mengucapkan syukur kerana filem ini akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 12 Mac nanti.
“Biarpun pembikinan filem ini sangat panjang kerana sering bertukar-tukar pengarah, namun cabaran seperti itu berjaya dilepasi dan akhirnya filem ini sedia masuk panggung. Cicakman 3 adalah sambungan daripada legasi Cicakman 1 dan 2. Dalam filem ini juga diwujudkan nama tempat dan bandar yang tidak wujud seperti Kota Metrofulus. Ini sebenarnya diinspirasikan daripada filem-filem P. Ramlee seperti nama negeri Isketambola dalam filem Tiga Abdul. Selain itu, Cicakman 3 juga lebih dekat dengan realiti,” kata Yusry.
DALAM filem Cicakman 3, Lisa akan membawa watak sebagai Linda, isteri kepada Man, lakonan Zizan Razak dan ibu kepada seorang anak lelaki bernama Boboy (Rykarl Iskandar).
“Saya teruja ketika mendapat tawaran filem ini dahulu sehingga sanggup membeli sendiri kostum untuk dipakai semasa penggambaran (ketawa). Bagi saya, watak Linda terlalu berat, tetapi penuh dengan konflik dan permainan emosi,” katanya.
Mengenai keselesaannya berada di bawah pengarahan suami sendiri, Lisa berkata, dia tidak mempunyai masalah, malah sering bertanya kepada Yusry jika ingin melakonkan sebarang adegan.