Pendedahan Sebenar Tentang Filem UIJJJ.(Upin Ipin Jeng Jeng Jeng)
Filem Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng! (UIJJJ!) yang mengaut RM3 juta selepas empat hari tayangan, mengangkat tema kemasyarakatan dengan dua beradik kembar itu dijadikan watak cameo atau watak sebabak. Pengarah Urusan Les' Copaque Production, yang juga penerbit filem itu,
Burhanuddin Md Radzi, menjelaskan UIJJJ! mengetengahkan cara menangani masalah anak yatim yang ditimpa kesusahan sebagai mesej penceritaan. "Bagi menjadikan plot cerita lebih menarik, kita suntik watak Upin dan Ipin dalam filem UIJJJ!. "Jadi filem ini bukan karya penuh yang membabitkan watak kembar itu semata-mata. Ramai orang salah anggap UIJJJ! adalah sebuah karya yang dipenuhi dengan Upin dan Ipin saja," katanya kepada BH Online.
Burhanuddin mengulas rungutan penonton terutama ibu bapa, yang mendakwa watak dua beradik kembar itu kurang dipaparkan dalam UIJJJ! sedangkan mereka menjadi tarikan utama filem berkenaan. Terbuka dengan setiap komen diberi peminat, Burhanuddin yakin masih ramai yang suka menonton UIJJJ!.
"Saya faham, agak sukar untuk kita memenuhi cita rasa semua pihak. Filem ini bukan untuk kanak-kanak saja, sebaliknya untuk semua lapisan masyarakat. "Cuma janganlah membuat kritikan yang terlalu buruk sehingga membuatkan orang lain enggan ke pawagam menonton UIJJJ!. "Bagi yang belum menonton, pergilah tengok. Dengan penjelasan yang saya beri, saya yakin penonton akan bersikap lebih terbuka menerima plot penceritaan UIJJJ!" katanya.
Filem UIJJJ! dihasilkan dengan usaha sama KRU Studios, manakala Primeworks Distribution dilantik sebagai pengedar filem. Filem arahan Erma Fatima dan Ainon Ariff itu menampilkan Asyiela Putri (suara asal Upin dan Ipin) bersama Pelakon Wanita Terbaik Asia, Puteri Balqis. Turut membintangi UIJJJ! adalah Awie (Wings), Sara Ali, Gambit dan Remy Ishak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Pendedahan Sebenar Tentang Filem UIJJJ.(Upin Ipin Jeng Jeng Jeng)"
Post a Comment